PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan aksi bola sepak tempatan mungkin ditangguhkan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan tamat pada 26 Januari ini dilanjutkan.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 yang dijadualkan pada 26 Februari depan berkemungkinan besar tidak dapat diteruskan sekalipun PKP bersambung hanya untuk dua minggu.
Jelas beliau, lanjutan PKP akan menyebabkan pasukan hanya memiliki masa kurang daripada tiga minggu sebelum menghadapi perlawanan pertama liga dan lebih membimbangkan apabila pasukan turut tidak dapat menjalani latihan sepanjang tempoh PKP.
“Di atas kertas kalau PKP disambung sekurang-kurangnya dua minggu bermakna akan tamat pada 9 Februari, ini bermakna pasukan Liga Super dan Liga Perdana cuma ada dua minggu melakukan persiapan untuk hadapi saingan liga.
“Sekurang-kurangnya pasukan kena diberi sebulan untuk tempoh mempersiapkan pasukan, sebab kita faham sewaktu PKP pasukan tidak boleh adakan sesi latihan,” katanya seperti dipetik Bernama.
Musim lepas menyaksikan saingan Liga M yang bermula pada akhir Februari terpaksa ditangguhkan hingga ke penghujung Ogos susulan larangan kerajaan sebagai usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata pihak sekretariat MFL sedang menyiapkan pelan strategik termasuk melihat pelbagai opsyen untuk memastikan saingan Liga M 2021 tetap dapat diteruskan seperti dirancang.
Katanya beliau difahamkan sekretariat MFL mempunyai perancangan tertentu sekiranya PKP bersambung hingga memakan masa empat minggu.
“Mereka (sekretariat MFL) melihat semua faktor dan merangka sesuatu mengikut kesesuaian semasa supaya perjalanan liga masih boleh diteruskan,” katanya, menambah sekiranya PKP tidak bersambung, ada kemungkinan liga diteruskan seperti yang dijadualkan.
“Kalau PKP tidak bersambung selepas 26 Januari, saya melihat pasukan masih ada tempoh sebulan lagi untuk melakukan persediaan bagi perlawanan pertama liga musim ini. Tetapi apapun kita perlu menunggu keputusan rasmi kerajaan,” katanya.
Perlawanan pembukaan saingan Liga M 2021 menyaksikan pertembungan di antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari ini. -Malaysiapost

