Nilam Oshman
Persepsi masyarakat yang beranggapan isu rasuah dan pelanggaran integiriti dalam kalangan pihak berkuasa semakin parah perlu diperbetulkan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata perkara itu hanyalah mainan fikiran kerana ia bukanlah kes yang sering berlaku.
“Cuma apabila ia melibatkan penjawat awam atau pihak polis secara khususnya, perkara ini menjadi sensasi.
“Sepatutnya kita perlu melihat perkara ini dari sudut positif yang mana tiada pihak yang bersalah dilindungi atau terlepas daripada tindakan undang-undang, sekiranya mereka melakukan kesalahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata, ia bermaksud sistem keadilan dan penguatkuasaan undang-undang di negara ini masih lagi dipraktikkan dengan baik.
Beliau turut menyentuh mengenai had masa bertugas atau sistem penggiliran dan pertukaran memainkan peranan penting dalam sesuatu unit dan jabatan.
Jelasnya, CUEPACS berpandangan had maksimum bertugas atau sistem penggiliran dan pertukaran amat wajar dilaksanakan, terutama melibatkan petugas di agensi penguat kuasaan.
“Had maksimum bertugas serta penggiliran atau pertukaran ke unit dan jabatan lain menjadikan penjawat awam tidak berasa terlalu selesa sekiranya bertugas terlalu lama di sesuatu unit dan jabatan berkenaan.
“Perasaan terlalu selesa ini bukan sahaja menjadikan penjawat awam tidak kompeten, malah mengundang ke arah penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.
Katanya lagi, ia juga boleh diamal dan dipraktikkan di agensi kerajaan lain kerana boleh meningkatkan kompetensi penjawat awam itu sendiri apabila mereka mempunyai kemahiran yang pelbagai.
“Namun, sistem penggiliran atau pertukaran pegawai ke jabatan lain tidak boleh dilakukan terlalu kerap hingga mengakibatkan penjawat awam itu tidak sempat menguasai bidang tugas masing-masing.
“Perlu ditetapkan tempoh minimum bertugas bagi memastikan mereka mahir dengan bidang tugas tersebut.
“Dalam masa sama, penempatan staf di jabatan lain perlu bersifat mendidik dan membina bukan semata-mata menghukum.
“Sebagai contoh, jika penjawat awam itu sudah berkeluarga dan isterinya juga sama-sama bekerja, janganlah pisahkan mereka hanya disebabkan mahu menempatkan di unit atau jabatan baru,” katanya.
Tambahnya, bagi agensi tertutup seperti pihak berkuasa tempatan, pengiliran tugas boleh dilakukan bagi membendung seseorang itu berada di tempat sama terlalu lama.
“Skop fungsi tugas boleh diubah setiap tiga tahun atau membuat pertukaran dalaman pada suatu pekan kecil yang lain bagi mengelak berada di tempat yang sama,” katanya.

