‘Tiada ahli parlimen wanita ke dalam parlimen?’ – soal DPIM

0
3

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) hari ini, mempersoalkan mengapa bukan ahli parlimen wanita yang dilantik dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak.

Naib Ketuanya Fatin Fariza berkata,
sepatutnya Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak adalah terdiri daripada wakil rakyat wanita. 

Katanya, pemerkasaan peranan wanita perlu ditingkatkan di setiap peringkat dalam negara bermula dari Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi contoh kepada organisasi lain.

“Selepas isu pelantikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak itu selesai tempat itu diganti pula dengan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria. 

“Persoalannya di sini, tiada Ahli Parlimen wanita ke di dalam Parlimen untuk dilantik sebagai sebahagian daripada ahli jawatankuasa? 

“Jawatankuasa yang dinyatakan di sini adalah melibatkan hal ehwal wanita dan kanak-kanak di mana wanita lebih memahami apa yang diperlukan wanita lain dan sudah tentu wanita adalah lebih dekat kepada kanak-kanak dari segi naluri keibuan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Fatin berkata, Ahli Dewan Rakyat di kalangan wanita hanyalah seramai 32 orang sahaja.

“Kita ada Datuk Halimah Mohamad Sadique, Datuk Mas Ermieyati, Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib dan ramai lagi ahli parlimen wanita lain yang boleh memangku jawatan tersebut. Bukan kah sepatutnya kita memperkasakan wanita?

“Dengan jumlah yang kecil pasti ada yang mampu memperkasakan peranan sebagai ahli jawatankuasa wanita dan hal ehwal kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan aktivis dan ahli politik mempersoalkan pelantikan Shahidan sebagai ahli dalam jawatankuasa berkenaan.

Bantahan itu mengambil kira kes mahkamah pada Oktober 2018 apabila ahli politik Umno itu diheret ke mahkamah atas tuduhan mencabul seorang remaja perempuan 15 tahun.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Arau itu menjelaskan bahawa beliau tidak berada dalam jawatankuasa itu dan memaklumkan wakil Barisan Nasional (BN) yang dilantik ke dalam ahli jawatankuasa berkenaan ialah Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria. -Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here