SERAMAI 2,846 pekerja warga asing disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian saringan sehingga 12 Januari lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah berkenaan adalah daripada 142,009 pekerja asing yang menjalani ujian saringan sejak diarahkan kerajaan pada 1 Disember 2020.
“Kerajaan telah menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan dalam sehingga kelmarin seramai 2,846 positif Covid-19,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menerima laporan masih berlaku kesesakan di taman awam di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak semalam.
Jelasnya, taman awam di kawasan PKP adalah ditutup dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti sukan atau riadah.
“Kerajaan membenarkan aktiviti riadah seperti joging dan berbasikal terhad kepada dua orang satu rumah khusus dalam kawasan kejiranan sahaja,” katanya. – Malaysiapost

