Nurul Huda Abhar
Empat individu ditahan dipercayai terlibat dalam pemasangan Jalur Gemilang serta bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di kawasan perindustrian Tebrau, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan dibuat hasil pemeriksaan sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Dato Onn di kilang tersebut.
Semasa pemeriksaan, katanya, polis mendapati terdapat bendera Johor dan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.
“Polis kemudian menahan empat suspek masing-masing dua lelaki dan dua wanita, dan salah seorang suspek lelaki merupakan warga Bangladesh.
“Hasil siasatan mendapati kilang ini telah menjalankan perusahaan perabot selama lapan tahun di kawasan tersebut.
“Polis juga merampas sehelai bendera Malaysia dan sehelai bendera Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.
“Polis Johor juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kedaulatan dan keamanan negara dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika dikesan melakukan kesalahan sama.
Kredit Foto: Polis Johor

