MPN nafi keluar kenyataan berkaitan Proklamasi Darurat

0
3

MAJLIS Profesor Negara (MPN) menafikan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan Proklamasi Darurat 2021 dan menegaskan kenyataan yang tular itu adalah berita palsu.

Presidennya, Prof Datuk Raduan Che Ros, berkata pihaknya mengadakan mesyuarat melibatkan pakar-pakar perlembagaan, sains politik dan lain-lain untuk meneliti dan memperhalusi perkara-perkara berkaitan Proklamasi Darurat itu.

Katanya, pandangan dari para professor adalah pelbagai, berdasarkan sudut pandang dan keilmuwan dan kebitaraan masing-masing.

“Sesungguhnya MPN sebagai sebuah badan yang mewakili para ilmuwan negara, menerima dan menyanjung titah Yang Dipertuan Agong memperkenan Proklamasi Darurat 2021 demi menangani pandemik Covid-19 secara lebih berkesan.

“Namun, pihak MPN melalui mesyuarat tersebut turut membangkitkan beberapa isu yang mungkin boleh diberikan perhatian khususnya sistem semak dan imbang serta ketelusan dalam pemerintahan negara sepanjang tempoh darurat itu dikuatkuasakan,” katanya dalam satu keyataan.

Beliau dalam pada itu mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk bersama-sama menentukan tempoh darurat yang dilalui ini dapat benar-benar memenuhi matlamat untuk menangani wabak Covid-19 serta kesan-kesan negatif berkaitan dengannya.

“MPN juga tegas menekankan agar tumpuan harus juga diberikan agar agenda ekonomi terus dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat terus diperlihara,” katanya.

Terdahulu, hari ini tular kenyataan yang mendakwa MPN berpandangan bahawa apabila Proklamasi Darurat diisytiharkan dan operasi institusi Parlimen digantung maka secara automatik sistem pemerintahan Malaysia yang berteraskan amalan demokrasi berpilihan raya dan berparlimen telah tumbang serta merta, menyebabkan Kabinet Kerajaan tidak lagi boleh berfungsi secara sah seperti biasa.

Kenyataan palsu itu juga mendakwa Kabinet Kerajaan yang demokratik hanya boleh wujud dan bergerak secara sah ketika Parlimen boleh bersidang dan beroperasi secara sah, dan tidak digantung oleh Proklamasi Darurat.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here