Pengusaha restoran disaran henti perniagaan ketika solat Jumaat

0
2

TIMBALAN Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan menasihati pengusaha restoran negara ini khususnya di negeri terbabit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya menghentikan urusniaga ketika solat Jumaat bagi menghormati kemuliaannya.

Selain itu, ia juga satu kaedah untuk mendapatkan keberkatan Allah ketika negara sedang berdepan musibah Covid-19.

Beliau berkata, biarpun pihak berkuasa agama menghadkan jumlah kehadiran solat Jumaat, ia tidak bermakna mereka yang tidak berkesempatan menunaikannya boleh bergerak bebas begitu sahaja.

“Ada juga negeri yang tidak mengadakan solat Jumaat selain yang menetapkan jumlah tertentu untuk berbuat demikian. Bagi umat Islam yang dapat hadir, mereka beruntung kerana dapat menunaikan kewajipan.

“Kepada yang tidak dapat hadir, mereka sepatutnya menghormati waktu itu dan tidak berada di luar, kedai dan sebagainya.

“Ini termasuklah kepada pemilik restoran yang masih berurusniaga. Sepatutnya mereka menghentikan perniagaan sehingga selepas solat Jumaat bagi memuliakan waktu berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan meminta semua ahlinya untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, ketika pelaksanaan PKP tahun lalu, isu itu ada dibangkitkan, namun masih ada pengusaha restoran yang tidak mematuhinya.

“Sebelum ini kita terlepas pandang isu ini walaupun menjadi amalan Presma untuk menutup perniagaan sehingga selesai waktu solat Jumaat.

“Jadi selari dengan PKP kali ini, saya menasihatkan ahli Presma supaya menghentikan seketika aktiviti perniagaan bagi menghormati waktu Jumaat, bermula esok.

“Semoga dengan cara ini, perniagaan yang dijalankan akan mendapat berkat dan kita semua dijauhi daripada sebarang musibah,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here