Hadi pertahan PN ibarat meludah ke langit – Faiz

0
2

AHLI Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil membidas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkannya mempunyai banyak dalil untuk menghalalkan apa sahaja kebatilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kenyataan Presiden PAS yang menempelak pembangkang kononnya berpolitik dalam isu darurat boleh diumpamakan meludah ke langit.

“Penggantungan Parlimen telah menyekat Ahli Parlimen untuk berbahas dan berdebat atas sesuatu isu berkepentingan awam dan negara dan ia sebenarnya tidak selaras dengan politik Islam.

“Islam menganjurkan perdebatan dan perbahasan atas sesuatu perkara dan ini selaras dengan firman Allah dalam surah an-Nahl ayat:125 yang bermaksud “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang baik”.

“Oleh itu, darurat yang dipertahankan oleh PAS ini tidak selaras dengan konsep dan politik Islam yang sebenar,” katanya dalam kenyataan.

Faiz berkata darurat itu yang dianggap sebagai perisai terakhir Tan Sri Muhyiddin menyelamatkan legitimasi Perdana Menteri setelah beliau hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Darurat ini adalah bagi mengekalkan kuasa yang dirampas melalui tebuk atap dengan membelakangkan mandat rakyat.

“Jika rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009 dianggap zalim dan haram, adakah Langkah Sheraton pula dianggap adil dan halal? Sesungguhnya, cenderung kepada kezaliman itu akan disambar api neraka (Surah Hud ayat:113), adakah permohonan darurat bagi mempertahankan kudeta ini selaras dengan Islam?,” katanya.

Beliau berkata Hadi seharusnya jujur dalam mengeluarkan fatwa politik kerana kedudukannnya sebagai Duta Khas Timur Tengah mempunyai pengertian besar di peringkat antarabangsa.

Semalam, media melaporkan Hadi mendakwa pengisytiharan darurat bagi menyekat penularan wabak Covid-19 adalah berlandaskan konsep Siyasah Syar’iyyah (politik Islam) yang diamalkan dalam mengurus sebarang isu yang berlaku sama ada melibatkan aspek kehidupan individu mahupun masyarakat.

Beliau berkata kerajaan PN telah mengambil langkah seawal berlakunya wabak berkenaan seperti di negara-negara lain dan berjaya mengawal penularannya dengan kadar terhad, namun ia masih belum mampu mengatasi penularan wabak sepenuhnya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here