Persoal ibadat polis dan tentera, ini reaksi Musa Hassan

0
4

Kenyataan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang mempertikaikan ibadat anggota polis dan tentera mendapat reaksi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

“Ramai muslim berpakaian nampak macam alim, zuhud dan sungguh bertakwa.

“Tetapi bila menuduh tentera atau polis beragama Islam tidak taat kepada perintah Allah, menunjukkan riak dan ujubnya, tidak melihatkan sebagai seseorang yang berilmu,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter.

Awal pagi tadi, Mohd Asri yang membongkar kegiatan judi haram dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, menyatakan permohonan maaf kepada anggota penguat kuasa.

Ia susulan keterlanjurannya menyatakan kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat, malah mempersoalkan bila kali terakhir anggota polis menunaikan solat subuh.

Sementara itu, dalam satu ciapan lain, Musa berkata, polis ada Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) dan tentera Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

“Setiap manusia ada kelemahan termasuk alim dan ulama. Selagi mereka taat dan memohon hidayah kepada Allah SWT selagi itu mereka akan berada di landasan yang benar,” katanya.

Menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter mengenai usaha menangani kes seperti di Sungai Buloh, Musa memberikan tiga cadangan:

1. Pendekkan tempoh masa seseorang penguat kuasa yang bertugas di dalam suatu bahagian kritikal dan digilir-gilirkan setiap dua atau tiga tahun.

2. Pemantauan rapi oleh ketua ke atas operasi-operasi yang dikendalikan.

3. Tindakan tegas terhadap pegawai atau anggota yang menyeleweng.