PKP: Presma mohon kelonggaran masa, namun tertakluk SOP

0
2

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) akur dengan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini sehingga 26 Januari depan.

Menurut Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, lebih 4,200 ahli Presma terdiri pemilik restoran di enam negeri yang dikenakan PKP akan terkesan dengan pelaksanaan itu.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Katanya, hasil pemerhatian pada hari pertama PKP kali kedua ini mendapati perniagaan merosot sehingga 80 peratus, justeru menjejaskan pendapatan ahli Presma di negeri-negeri yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memberi sedikit kelonggaran untuk restoran dan penyedia perkhidmatan makanan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.

“Ia termasuklah menghadkan jumlah pelanggan kepada dua orang setiap meja.

“Cadangan ini berdasarkan pengalaman ketika PKP kali pertama tahun lalu yang terbukti berkesan mengekang penularan wabak serta membantu ekonomi pengusaha restoran.

“Kami berasa sedih dan kecewa kerana terdapat ramai dari kalangan ahli kami yang terpaksa menggulung tikar kesan PKP sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jawahar Ali berkata Presma memohon waktu operasi dilanjutkan iaitu 6 pagi hingga 8 malam kepada 10 malam bagi membolehkan orang ramai mendapatkan makanan pada waktu malam.

Beliau berkata, ini kerana masih ramai yang ingin membeli makanan selepas jam 8 malam atas faktor kerja dan sebagainya.

“Setakat ini, Presma berpuas hati dengan pematuhan SOP dalam kalangan ahli dan akan terus memastikan ia dipatuhi demi kebaikan bersama.

“Ahli Presma yang terbabit di negeri PKP komited untuk mematuhi arahan dan SOP ditetapkan bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

“Selain itu, Presma akan terus bersama kerajaan membantu petugas barisan hadapan menerusi program tanggungjawab sosial korporat bagi memastikan kita semua bebas dari wabak pandemik ini,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) yang berpandangan kelonggaran yang diberi pada PKP kali ini perlu diteliti sebaik mungkin.

Presiden PPMM, Che Hassan Che Johan berkata, ia termasuklah menggunapakai kaedah sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini.

“Sudah tentu ia akan menggerakkan ekonomi menerusi aktiviti perniagaan.

“Namun perlu ditegaskan, kelonggaran ini masih tertakluk kepada SOP. Sekiranya ada yang melanggar arahan, tindakan sewajarnya harus diambil,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan majoriti perniagaan di kawasan PKP dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Ini termasuk kedai runcit dan serbaneka, penjaja tepi jalan, medan selera dan restoran.

Beliau berkata, pelanggan tidak boleh makan di dalam premis, hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu dibenarkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here