PERGERAKAN bagi bantuan kemanusian ke kawasan yang dilanda banjir oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya dibenarkan dengan kelulusan polis.
Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan kepada mangsa banjir perlu mendapatkan kebenaran pihak polis terlebih dahulu.
“NGO dan orang perseorangan yang ingin membantu kerana banjir di beberapa negeri contohnya dari Selangor dan Kuala Lumpur mangsa banjir di Pahang maka Pergerakan bantuan dibenarkan dengan syarat ia mendapat kebenaran polis.
“Sebelum bergerak lapor pada polis dan apabila sampai di lokasi bencana, perlu laporkan kehadiran pada Pusat Bencana Daerah supaya mereka tahu siapa yang hadir ke kawasan bencana,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, pihak yang ingin membantu itu prihatin dengan mangsa banjir, namun mereka digalakkan membuat saringan Covid-19 terlebih dahulu supaya status kesihatan mereka adalah jelas.
“Kita tidak paksa tetapi galakkan untuk mereka membuat saringan Covid-19 atau ujian swab terlebih dahulu sebelum pergi ke kawasan bencana kerana kita tidak mahu membahayakan mangsa yang di bantu,” katanya. – Malaysiapost

