Pulang segera sebelum terkandas – Ismail

0
3

ORANG ramai yang berada di kawasan lain atas urusan tertentu dinasihatkan pulang segera selewat-lewatnya Jumaat ini bagi mengelakkan terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebelum ini kerajaan sudah memberi kelonggaran bagi merentas negeri dan daerah termasuk melonggarkan aktiviti harian.

“Namun begitu dengan peningkatan kes Covid-19 kepada empat angka yang berterusan ini maka pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara sama ada di kawasan PKP, atau PKP Bersyarat malah PKP Pemulihan juga tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran polis,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, susulan itu sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa tengah malam ini

“Bagaimanapun selepas perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat kes yang akan diberikan sedikit kelonggaran sebagai contoh mereka yang sudah membeli tiket penerbangan, kita tidak minta mereka membatalkannya, begitu juga yang sudah membeli tiket bas boleh teruskan perjalanan mereka.

“Kelonggaran ini hanya akan diberikan kepada mereka yang memberi sebab tertentu sahaja sebagai contoh saya dapat maklumat ada yang melawat keluarga sakit di hospital dan akan balik dua hari lagi iaitu Khamis.

“Kes-kes tertentu seperti ini dibenarkan jadi jangan bimbang terperangkap di kampung seperti PKP dahulu (Mac 2020),” katanya.

Berikutan itu, Ismail menggesa agar sesiapa yang masih berada di kampung – yang belum pulang, mengambil langkah seperti yang disarankan.

“Saya harap pulang segera, mungkin paling lewat Jumaat ini untuk mereka pulang ke rumah masing-masing sebelum ada sekatan pergerakan hingga mereka tidak dibenarkan pulang dan akhirnya terpaksa berada di kampung sepanjang tempoh PKP ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here