Sesi persekolahan bermula 20 Januari

0
2

SESI persekolahan di negeri-negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan bermula pada 20 Januari ini.

Manakala di negeri yang menjalani PKP hanya pelajar yang mengambil peperiksaan sahaja dibenarkan ke sekolah untuk sesi Pembelajaran dan Pengajaran Bersemuka (PdPB).

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, bagi murid dan pelajar di kawasan PKP membabitkan murid darjah 1 hingga pelajar Tingkatan 4, mereka perlu menjalani sesi persekolahan melalui kaedah Pembelajaran dan Pengajaran Di Rumah (PdPDR).

“Bagi persoalan mengenai bilakah sesi persekolahan 2021 bermula, jawapannya adalah 20 Januari ini dan sama ada murid perlu ke sekolah atau tidak ia bergantung kepada negeri sama ada terletak di kawasan PKP atau PKPB dan PKPP,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.

Dalam sidang media itu, beliau menjelaskan beberapa persoalan mengenai sesi persekolahan susulan pelaksanaan PKP bermula esok.

Ketika ditanya sama ada pusat tuisyen dibenarkan dibuka di kawasan PKP membabitkan pelajar yang bakal menjalani peperiksaan, Dr Radzi berkata ia tidak dibenarkan.

“Tetapi sekiranya guru ingin mengadakan kelas tambahan di sekolah untuk pelajar yang bakal menjalani peperiksaan ia adalah dibenarkan.

“Manakala pusat tuisyen di negeri yang menjalani PKPB dan PKPP ia boleh dibuka,” katanya.

Beliau berkata, berkaitan dengan tadika swasta yang dibenarkan dibuka di kawasan PKP, pelaksanaan PKP kali ini adalah berbeza dengan yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

“PKP Mac tahun lalu lebih ketat dengan kebanyakan sektor tidak dibenarkan beroperasi, namun kali ini berbeza dengan sektor ekonomi tertentu dibuka.

“Bagi memudahkan ibu bapa yang bekerja jadi kita benarkan tadika di kawasan PKP dibuka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here