Dadah bernilai RM125.8 juta dirampas Polis Johor

0
3

PELBAGAI jenis dadah dianggar bernilai RM125.8 juta dirampas Polis Johor dalam beberapa serbuan pada hujung minggu lalu di sekitar bandar raya Johor Bahru, Johor.

Seramai 15 suspek membabitkan lapan lelaki dan tujuh wanita berusia 17 hingga 62 tahun berjaya ditahan sekali gus berjaya menumpaskan antara sindiket dadah terbesar di Malaysia setakat awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain@ Abd Rasid, berkata sebanyak 16 serbuan dijalankan bermula 2.45 petang Jumat hingga 6.40 petang Ahad lalu.

Menurutnya, ketua sindiket berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan dan siasatan masih dijalankan bagi memastikan tiada saki baki ahli sindiket yang bebas termasuk kewujudan dalang yang lain.

“Risikan selama setahun kita buat terhadap sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang beroperasi di dua rumah sekitar bandar raya Johor Baru yang dijadikan stor penyimpanan dan makmal memproses dadah.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berikutan semua pintu sempadan negara dikawal ketat membuatkan dadah yang diseludup dari luar negara tidak dapat masuk, menyebabkan mereka memproses sendiri dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini yang turut disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Polis Johor.

Menurutnya, dadah yang dirampas adalah syabu sebanyak 72.61 kilogram (kg); serbuk ecstacy (12.81 kg); ganja (5.44 kg); 3.72 juta biji pil eramin 5; sebanyak 397,905 biji pil ecstacy; heroin (4 gram); ketamin (28.0 gram); jus manggo (8.5 gram); serbuk dadah seberat 969.15 kg selain enam mesin dan peralatan memproses dadah.

“Turut dirampas 13 kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal jenis Kawasaki, wang tunai RM2.28 juta, pelbagai wang mata asing (RM284,000), jongkong emas seberat 1kg, empat jam tangan Rolex dan pelbagai barang kemas yang kesemuanya dianggar bernilai RM5.43,” katanya.

Razarudin berkata, dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan namun tidak menolak kemungkinn ia juga untuk diseludup ke pasaran luar.

“Dalam satu jam mesin pemporesan dadah dimiliki sindiket ini mampu memproses sebanyak 3,000 biji pil dadah pelbagai jenis dalam selain mampu menghasilkan lebih 300,000 dalam tempoh kurang tiga hari.

“Kesemua 15 suspek direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 16 Januari ini, mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here