PKP : Penyampaian perkhidmatan awam diteruskan

0
2

KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal aktif di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), melalui konsep bekerja dari rumah (BDR).

Presidennya, Adnan Mat berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri sebentar tadi sudah tentu membuatkan ramai rakyat berasa sedih.

” Enam negeri telah dikenakan pelaksanaan PKP manakala selebihnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

” Namun sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita semua perlu menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada dan bersama-sama dengan Perdana Menteri di saat genting ini dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dicegah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam hal ini, beliau berkata, Cuepacs memahami bahawa Perdana Menteri terpaksa membuat keputusan yang sukar ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Apatah lagi sistem kesihatan kita yang semakin tenat akibat peningkatan kes Covid-19 yang terpaksa dikendalikan oleh petugas kesihatan.

“Justeru itu Cuepacs berharap semua pihak terus bersama dalam memastikan kejayaan kita mengekang penularan Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berharap semua pihak sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memberikan kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus menjalankan tugas masing-masing.

“Rakyat yang berada di kawasan PKPP dan PKBB perlulah mematuhi setiap arahan yang dikuatkuasakan agar penularan tidak menjadi lebih teruk,” katanya.

Sehubungan itu, Cuepacs memberi jaminan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di kawasan masing-masing.

“Cuepacs yakin konsep dari BDR yang telah diaplikasikan sejak Mac tahun lalu mampu memastikan negara tidak lumpuh walaupun pelaksanaan PKP di sesetengah negeri.

“Semua penjawat awam kebanyakannya sudah memahami dan bersedia melaksanakan tugasan berdasarkan konsep BDR ini.

“Bagi negeri-negeri yang terlibat dengan PKPB dan PKPP, arahan bekerja di pejabat dan BDR adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Adnan meminta penjawat awam supaya terus fokus dalam melaksanakan tugas demi membantu rakyat dalam menghadapi waktu sukar ini.

“Cuepacs juga berharap setiap ketua jabatan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam mengatur tugas kakitangan masing-masing.

” Setiap arahan haruslah berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak merisikokan penjawat awam yang bertugas di pejabat atau pun di lapangan.

“Orang ramai juga diharap tidak panik dengan situasi semasa pelaksanaan PKP ini dan sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan jika perlu berurusan di pejabat kerajaan,” katanya.

Beliau turut berharap semua rakyat Malaysia dapat terus bersama dan berdoa agar situasi yang melanda negara ketika ini dapat pulih dengan cepat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here