Wajarkah sekolah di zon merah dibuka 20 Januari ini? – Najib

0
2

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kewajaran pembukaan sekolah bagi kawasan zon merah

pada 20 Januari ini, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

Najib menerusi hantaran di Facebooknya berkata, jika benar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan PKP 2.0 bersasar yang disifat amat ketat selama dua minggu, bagaimana dengan sesi persekolahan bagi beberapa negeri. 

Ini kerana, katanya, jika PKP 2.0 itu bermula 12 Januari 2021 bagi lima negeri dan tiga wilayah seperti dilapor media, maka tempoh PKP itu akan berakhir pada 25 Januari 2021. 

“Tapi sesi sekolah tahun 2021 diumum bermula pada 20 Januari. 

“Ini bermakna murid hanya dibenarkan hadir ke sekolah pada 26 Januari 2021 iaitu selepas PKP 2.0 fasa pertama berakhir pada hari sebelumnya,” katanya. 

Namun, Najib berkata, jika PKP 2.0 tidak dilanjutkan maka pelajar boleh hadir selama 11 hari sekolah berturut-turut sebelum cuti Tahun Baharu Cina bermula. 

“Sebaliknya, jika PKP 2.0 dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 8 Februari 2021 maka murid-murid hanya dibenarkan hadir ke sekolah pada 9 Februari dan 10 Februari 2021 sahaja sebelum sekolah direhat sekali lagi untuk cuti Tahun Baru Cina. 

“Jika demikian, adakah ianya wajar untuk sesi sekolah bagi negeri-negeri dalam zon merah yang bakal dilaksanakan PKP untuk terus bermula pada 20 Januari? 

“Ataupun ia lebih praktikal sekolah dijadualkan semula untuk hanya bermula selepas cuti Tahun Baharu Cina?,” soalnya. 

Esok Perdana Menteri akan membuat pengumuman khas mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini. 

Sebelum ini, Muhyiddin dalam perutusan sempena tahun baharu 2021 memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibuka pada 20 Januari mengikut takwim yang diumumkan sebelum ini. 

Berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, permulaan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut melibatkan semua murid sekolah rendah dan sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, 4, 5 dan 6 serta Kolej Vokasional. 

Pelajar Tingkatan 2 dan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh sama menerusi kaedah pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian serta kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here