TINDAKAN nekad pemandu pikap meredah banjir di laluan yang ditutup mengundang padah apabila kenderaannya dihanyutkan air ke bawah jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Chukai, Terengganu, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika tiga sekeluarga yang menaiki pikap berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang menghala ke Mak Lagam, Chukai.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata kenderaan jenis Ford Ranger itu dikatakan meredah banjir di jalan yang di tutup kepada semua kenderaan sejak Ahad lalu.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaan dinaiki mereka hanyut namun kesemua mereka berjaya keluar daripada kereta berkenaan.
“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyelamatkan tiga mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun yang berada di atas bumbung kenderaan berkenaan.
“Selain itu, kita bersama bomba turut mengeluarkan kenderaan mangsa yang tenggelam di dalam air banjir,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Susulan itu, Hanyan mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dengan tidak meredah laluan ditutup akibat banjir bagi mengelak kejadian sama berulang. -Malaysiapost

