SEORANG lelaki ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat, di Felda Sendayan, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.23 pagi, lelaki berusia 40-an itu rentung selepas dipercayai terperangkap dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat, di Jalan Peringkat 3, Felda Sendayan.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba yang juga Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd Asree Abd Hamid berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM), Negeri Sembilan, menerima panggilan kejadian kebakaran itu awal pagi tadi.
“Operasi memadam kebakaran hampir selesai, kami mendapat maklumat seorang rakannya atau penyewa rumah berkenaan warganegara Indonesia ada seorang penyewa berbangsa Melayu warga tempatan berada di dalam bilik hadapan tingkat atas rumah berkenaan.
“Kerja-kerja mencari mangsa terbabit dijalankan dan pada jam 2.40 pagi, mangsa telah ditemui dalam keadaan terbakar di ruang bawah rumah, tertimbus dengan runtuhan lantai kayu,” katanya.
Mohd Asree berkata, operasi pemadaman dari bahagian hadapan dan tepi rumah itu selesai sepenuhnya pada jam 2.50 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Berdasarkan maklumat awal, rumah berkenaan didiami dua keluarga, iaitu enam orang yang menyewa dengan lima daripadanya warga Indonesia dan seorang lelaki Melayu yang masih bujang dan baharu beberapa minggu menyewa bilik di rumah berkenaan.
“Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Hisyam, 40an, namun maklumat terperinci tidak diketahui kerana dokumen peribadi mangsa terbakar,” katanya. -Malaysiapost

