‘3 kali tukar kenderaan rasmi, tapi projek terowong dasar laut tak juga jalan’

0
3
Pix via Malaysiapost

“SEJAK projek ‘terowong ajaib’ dianugerahkan, Ketua Menteri Pulau Pinang sudah tukar kereta rasmi tiga kali,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib secara sinis berkata, walaupun kereta rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang sudah digantikan sebanyak tiga kali, namun projek pembinaan terowong dasar laut negeri itu masih juga tidak bermula.

“Guan Eng guna Toyota Camry untuk sebulan sahaja. Lalu dia gantikannya dengan kereta Mercedes S-class baru.

“Kereta rasmi ditukar 3 kali sejak tahun 2013 tapi kerja pembinaan terowong tak pernah bermula sejak 8 tahun dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Justeru, Najib mengingatkan DAP supaya tidak lagi mengecam Kerajaan PAS Kelantan dan Menteri Besar Kedah berhubung pembelian kenderaan membabitkan kedua-dua pihak berkenaan.

“DAP ada hati lagi nak kecam kerajaan PAS Kelantan beli Mercedes dan fitnah MB Kedah beli Vellfire?,” katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Pulau Pinang telah membeli sebuah kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada tahun 2013.

Kon Yeow dilihat menggunakan kereta baharu itu ketika hadir Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Dewan Bandaraya Khamis lalu.

Kon Yeow berkata, beliau baharu sahaja menerima kereta tersebut pada Rabu lalu.

“Saya tidak tahu perincian pembelian ini, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini nanti,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here