‘PAS tak bincang masalah Umno-Bersatu’ – Khairuddin

0
2

PAS tidak membincangkan mengenai keretakan hubungan di antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mesyuarat bulanan pimpinan PAS Pusat hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata mesyuarat itu hanyalah mesyuarat bulanan biasa.

Katanya, PAS tidak membincangkan mengenai pertelingkahan antara Umno dan Bersatu kerana enggan mencampuri urusan dalam kedua-dua parti itu.

“Kita tidak bincang… kita hanya mesyuarat biasa saja. Hanya mesyuarat bulanan, (bincang) laporan biasa setiap bulan.

“Itu urusan dalaman mereka (kemelut Umno – Bersatu) ,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian PAS, selepas Umno meluluskan untuk membawa usul memutuskan hubungan parti itu dengan Bersatu ke Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini, Mohd Khairuddin berkata:

“PAS konsisten dengan pendirian untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN), dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Katanya, tidak timbul soal PAS perlu memilih untuk bekerjasama dengan Umno atau Bersatu buat masa ini, kerana PAS komited untuk bekerjasama dengan kedua-dua gabungan itu, menerusi MN dan PN.

“Itu adalah ‘tagline’ yang digunakan Presiden PAS, memperkasakan MN dan mempertahankan PN,” katanya.

Khamis lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan usul hubungan dengan Bersatu sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS, akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan ini.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, 143 dari 191 ketua Umno bahagian seluruh negara menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

PAS bekerjasama dengan Umno dalam MN, sebelum turut menyertai PN yang didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan politik. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here