Nurul Huda Abhar
Bapa kepada pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) awal pagi tadi.
Allahyarham Aksan Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.57 pagi.Afdlin menerusi satu hantaran di laman Instagramnya memaklumkan kepada umum mengenai kehilangan bapa tersayang, namun tidak mendedahkan penyakit yang dihidapinya.
“Dukacita dimaklumkan, ayahanda kami Aksan Abu Bakar sudah kembali ke Rahmatullah pada Selasa, 11 Ogos 2020, pukul 2.57 pagi di PPUKM, KL.
“Sama-sama kita doakan rohnya dan ditempatkan dengan golongan orang-orang yang beriman,” tulisnya hari ini.
Pelakon tersebut turut mengimbau saat terakhir bersama Allahyarham yang sempat memohon maaf atas semua kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Afdlin juga memohon doa orang ramai dan sesiapa sahaja yang mengenali bapanya agar memaafkan segala kesilapan sepanjang hayatnya.
“Bapaku yang tercinta. Dia berpesan kepadaku yang dia meminta maaf dan ampun segala kesalahan yang pernah dilakukan kepada sesiapa yang mengenali beliau. Tolong ampunkan.
“Allahyarham juga memaafkan semua orang dan berkata, tidak ada rasa dendam atau sakit hati dengan sesiapa.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa beliau dan terimalah amalan dan kebaikan beliau. Tempatkan roh beliau di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. I love you papa. Assalamualaikum,” katanya lagi.
Jenazah Alllahyarham Aksan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves hari ini.

