NASIB Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sama ada kekal bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini akan diketahui dalam tempoh terdekat.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya dijangka mengumumkan status penyertaan semua pasukan pada pertengahan bulan ini.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang membuat penelitian berkaitan penyertaan semua pasukan termasuk JDT dalam saingan tertinggi peringkat Asia itu.
“Kami masih meneliti untuk mengesahkan semua penyertaan kelab bagi ACL termasuk kelab dari Malaysia. (Keputusan akan diumumkan) dalam pertengahan bulan Januari,” katanya seperti dilapor BH.
Media sebelum ini melaporkan status penyertaan JDT di ACL secara tiba-tiba menjadi tanda tanya selepas timbul dakwaan bahawa AFC menolak pendaftaran mereka untuk ke saingan itu.
Tindakan itu didakwa berpunca daripada kegagalan skuad Benjamin Mora menghabiskan baki aksi peringkat kumpulan di Doha, musim lalu akibat pandemik Covid-19.
Tindakan menarik diri itu sebenarnya terpaksa dilakukan JDT selepas Kerajaan Malaysia tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). -Malaysiapost

