Muhammad Afiq
Malaysia memerlukan lebih ramai Asri Janggut bagi membebaskan negara daripada “kekotoran” perjudian dan maksiat, kata Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin.
Beliau berkata, keberanian Mohd Asri Hamid yang juga pengasas Hot Burger itu wajar dicontohi kerana berani menyatakan kebenaran tanpa gentar.
“Perlu lebih ramai rakyat Malaysia seperti Asri Janggut, berani bercakap benar. Apatah lagi dalam mencegah kemungkaran.
“Boleh dikatakan hampir setiap daerah ada unsur perjudian, arak dan zina ataupun pelacuran.
“Jadi setiap individu Islam ada iman dalam hatinya, dia akan benci kepada perkara-perkara benci dan mungkar ini, berani menyatakan kebenaran tanpa gentar,” katanya kepada Malaysia Post, hari ini.
Dua hari lalu Mohd Asri meluahkan rasa kecewa apabila polis sendiri membuat laporan polis terhadapnya berhubung dua klip video pendedahan pusat judi dan premis perniagaan warga asing di Sungai Buloh yang ditonton lebih sejuta warganet.
Dia berkata, pihak polis sepatutnya berterima kasih dan memberi bunga kepadanya kerana pendedahan berani itu.
“Polis buat ‘report’ kepada saya mengatakan saya buat tohmahan…ini bukan tohmahan ini cerita betul.
“Sepatutnya ketua polis tu hubungi saya ucap terima kasih, hantar bunga kepada saya, sepatutnya begitu. Sebab saya sudah bagi maklumat.
“Sebenarnya begini, ini bukan benda baru,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebook Hot Burger.
Hari ini, hasil pendedahan Mohd Asri, pihak berkuasa mencekup tiga pegawai polis yang terbabit melindungi aktiviti haram yang didedahkan peniaga burger itu.
Dalam pada itu Zamihan memuji Mohd Asri yang sanggup mengambil risiko demi mencegah kemungkaran.
Katanya lagi, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pendedahan yang dibuat itu.
“Gelombang ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa, tidak hanya di Sungai Buloh saja, kawasan lain juga perlu begitu.
“Pihak berkuasa agama perlu sentiasa ada sesi libat urus dengan masyarakat NGO bagi menguruskan perkara ini,” katanya lagi.

