Tak cerdik jika Bersatu terima saranan guna lambang BN

0
3

Fitri Nizam

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilihat kurang cerdik jika akur dengan saranan Umno untuk menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Mohd Raduan Ja’apar, berkata BN kini terpalit dengan kes Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri kleptokrasi.

“Hakikatnya, kenapa perlunya untuk guna logo BN? Kerana kesan liabiliti Datuk Seri Najib sebagai bekas Perdana Menteri Kleptokrasi masih ada.

“Cukup-cukuplah bilamana melihat kerakusan pengagihan jawatan dalam GLC hingga ke peringkat kampung di seluruh negara terutamanya di Melaka,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan bagi mengulas terhadap cadangan Pemuda Umno untuk menggunakan logo dacing BN oleh Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRU15.

Beliau mendakwa, PN telah didaftarkan yang mana antara parti komponen di dalamnya adalah PAS.

“Kenapa tidak mengunakan lambang baharu yang tidak terikat dengan lambang dacing.

“Jika Umno ikhlas, Umno yang perlu bersama dalam Periktan Nasional dan mengunakan logo yang baharu dan segar.

“Malangnya, Umno telah mengistiharkan untuk tidak mahu bersama dalam Perikatan Nasional,” katanya.