SEORANG doktor kelahiran Malaysia menerima pengiktirafan sebagai pencipta hijab pakai buang yang menepati syarat penggunaan dalam prosedur pembedahan perubatan.

Rekaan itu dihasilkan dengan usaha Dr Farah yang bekerjasama dengan Hospital DiRaja Derby dan kini diiktiraf sebahagian peralatan pembedahan yang dibenarkan di United Kingdom (UK).
Menerusi perkongsian di laman Facebook (FB), ciptaan tersebut telah mengharumkan nama Dr Farah sebagai seorang Muslim dari Malaysia, dan umat Islam UK.

Dr Farah yang kini menjalani latihan pembedahan di Hospital Northampton, UK dikatakan mengalami diskriminasi bukan sahaja sebagai orang asing di UK, malah seorang wanita dan beragama Islam.
Oleh itu, pengiktirafan kepada Dr Farah boleh dikatakan sesuatu yang luar biasa.
Antara pengiktirafan yang diberi kepada Dr Farah termasuk Anugerah Doktor Terbaik Yayasan Nottingham, Anugerah Kepimpinan Perubatan NHS dan kini dicalonkan sebagai penerima Anugerah Bishop Muslim UK.
Dr Farah berkongsi di satu sesi temubual bersama siaran media UK yang idea ciptaan beliau dicetuskan apabila mendapati ramai pelajar latihan pembedahan yang berhijab sanggup menolak program latihan praktikal kerana tidak dibenarkan memasuki pembedahan dengan memakai hijab biasa.
Menyedari realiti pahit itu, Dr. Farah telah berusaha untuk mereka bentuk hijab menggunakan bahan gred perubatan yang menutup aurat, sama seperti hijab yang lazimnya digunakan dalam kegiatan seharian.
Rekaan itu menjadi bahan bualan di UK dan juga menjadi inspirasi kepada pelajar Muslim untuk mengusahakan yang terbaik dalam menjalankan latihan tanpa membelakangkan tanggungjawab agama.
“Saya tidak berniat untuk menjadi apa-apa pengaruh pada yang lain. Cumanya, saya terkesan apabila ramai pelajar mengambil keputusan untuk menolak latihan praktikal kerana tidak dibenarkan memakai hijab biasa di dalam bilik pembedahan.
“Rekabentuk hijab saya tidaklah begitu rumit, hanya seolah topi pembedahan yang dipanjangkan dan mudah diguna pakai.” katanya dalam satu temuramah.
“Tapi kini, rekaan hijab saya itu dapat menjadi pencetus semangat kepada semua doktor beragama Islam untuk terus berusaha memastikan segala pengalaman latihan dan kegiatan bidang perubatan mereka tidak bercanggah dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
“Pada saya, Islam adalah cara hidup. Walaupun kami berlatih lebih 13 jam sehari, Alhamdulillah setakat ni saya masih mampu berpuasa di bulan Ramadan dan menjalankan segala tanggungjawab lain sebagai seorang Muslim.
“Segalanya datang daripada usaha kita sendiri dan izin Allah,” katanya. – Malaysiapost

