PN kerajaan paling tidak kukuh dalam sejarah negara

0
2

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan yang paling tidak kukuh dalam sejarah pemerintahan negara.

Menurut beliau, semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka mempunyai dua pertiga majoriti sokongan dalam kerajaan.

Namun, beliau menyatakan PN yang diterajui parti Bersatu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mempunyai dua sokongan.

“Ini menyebabkan kerajaan ini (PN) tidak boleh tumpu kepada pemerintahan.

“Sebaliknya, sepanjang masa diguna untuk bertahan diri supaya tak jatuh,” katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya petang tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membanding pendaftaran parti tersebut yang ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam, namun PN dapat didaftarkan hanya dalam masa tujuh hari.

“Sebenarnya, PN ini berlagak sebagai kerajaan tanpa daftaran. Dipanggil sebagai kerajaan PN sedangkan tidak ada PN.

“Tetapi bagi mereka tiada tindakan. Kalau kami (Pejuang) bergerak tanpa daftar maka mereka akan mengambil tindakan undang-undang. Ini adalah keadilan bagi kerajaan Muhyiddin Yassin,” ujarnya lagi.

Dr Mahathir ditemui ketika sidang media berhubung isu ROS menolak permohonan pendaftaran Pejuang.

Sementara itu, menjawab soalan berkenaan nasihat buat Muhyiddin mengenai krisis politik negara yang kini semakin meruncing, beliau menegaskan agar Perdana Menteri segera berundur.

“Anda (Muhyiddin) tak nampak begitu kukuh, letak jawatanlah,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here