PENDAKWAH bebas, Ebit Lew bersama pasukannya sanggup meredah banjir untuk menyalurkan bantuan makan kepada Orang Asli di Kampung Belukar Paloh Hinai di pendalaman Jerantut.

Menerusi hantaran Di Facebook miliknya, Ebit berkongsi kisah masyarakat Orang Asli di kampung itu yang enam hari kelaparan kerana kehabisan makanan akibat banjir.
“Sayu hati bila dapat berita ada satu kampung Asli dengan 300 penduduknya terputus bekalan makanan selama enam hari.
“Suku Jakun, mereka tak Islam. Ada beberapa orang Islam. Kedai runcit kecil ada satu tetapi dah tiada barang. Kerana jalan mereka terputus. Mereka ada dua biji bot kecil sahaja.
“Saya terus bergegas dari Jerantut ke Paloh Hinai,” katanya.
Menurut Ebit, penduduk kampung itu telah diberi bantuan 500 set makanan yang boleh dimasak dan sedikit wang tunai.
Tambah Ebit lagi, perasaannya amat tersentuh apabila kehadiran pasukannya memang tepat pada masanya kerana belum ada sebarang bantuan tiba membantu mangsa banjir di kampung itu.
“Sebaik sampai semua sambut kita. Sayu bila semua berebut datang ke bot kami. Betul-betul ramai memerlukan saat ini. Tak cukup tenaga dan masa. Berat rasa hati,” katanya.
Dalam pada itu, Ebit turut melahirkan kebimbangan dengan perkembangan banjir yang belum nampak surut di Pahang.
“Sepanjang hari ini guna bot hantar makanan. Kami lapan bot pergi dari satu tempat ke satu tempat. Risau, berdebar juga kerana dari 8 pagi sampai 3 petang ini masih di atas air.
“Hujan tak berhenti sepanjang hari. Makin lebat. Air makin naik lalu Sungai Pahang ke beberapa tempat.
“Terkejut jalan semua dah macam sungai. Langsung tak naik kereta dah. Semua naik bot. Ya Allah mudahkanlah semua urusan,” katanya. – Malaysiapost

