Polis mengesahkan seorang tahanan bergari cuba melarikan diri dan terjun melalui tingkat di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shahabudin Abd Manan berkata, tahanan bergari itu maut akibat jatuh dari tingkat lima kompleks mahkamah berkenaan.
Shahabudin berkata, bedah siasat di Hospital Pulau Pinang mendapati punca kematian adalah “kecederaan kepala akibat jatuh dari tempat tinggi”.
Selain itu, doktor mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Pada jam lebih kurang 11.35 pagi, semasa berada di bilik mahkamah tingkat lima, dia (si mati) mengadu hendak ke tandas dan telah diiring oleh seorang anggota mahkamah.
“Semasa dalam perjalanan, si mati yang bergari cuba melarikan diri ke arah tingkap dan telah cuba dihalang oleh anggota polis pengiring.
“Bagaimanapun si mati berjaya melepaskan diri dan telah terjun ke bawah melalui tingkap tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anggota polis pengiring dilaporkan turut mengalami kecederaan di tangan kiri dan jari tangan kanan ketika berusaha menghalang tindakan si mati.

