AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tiba di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur malam ini untuk menghadiri mesyuarat.
Antara yang kelihatan tiba, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin serta ahli MKT, Datuk Seri Tajudin Abd Rahman, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Turut kelihatan, Datuk Razali Ibrahim, Datuk Seri Johari Abd Ghani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Datuk Jalaluddin Alias, lapor Berita Harian.
Mesyuarat dijadual jam 8.30 malam ini dipengerusikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Petang tadi, berlangsung mesyuarat Biro Politik Umno yang dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri sekitar jam 5 petang.
Mesyuarat MKT malam ini dijangka memutuskan pendirian mengenai kerjasama dengan Bersatu berikutan usul menolak kerjasama parti itu yang dibangkitkan Umno bahagian dalam mesyuarat mereka hujung minggu lalu.
Turut dijangka disentuh dalam mesyuarat malam ini, kedudukan serta sokongan Ahli Parlimen Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Satu kenyataan dijangka dikeluarkan malam ini sebaik selesai mesyuarat MKT. – Malaysiapost

