Kes Covid-19 semakin meningkat, PKRC hampir penuh – Dr Noor Hisham

0
2

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang menempatkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua, hampir penuh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, juga terdapat kelewatan daripada pihak KKM untuk mengambil pesakit Covid-19 dari rumah untuk di hantar ke PKRC.

“Kita melihat kepada kemungkinan untuk memastikan kes yang tiada gejala untuk ditempatkan di rumah masing-masing.

“Ataupun tadi telah dibincang dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berkerjasama dengan NADMA atau MKN untuk menempatkan kes-kes positif Covid-19 tanpa gejala atau gejala ringan di pusat-pusat kuarantin,” katanya kepada pemberita ketika sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, untuk kes positif Covid-19 yang pulang dari Luar negara, KKM akan mempertimbangkan untuk menempatkan warganegara atau individu berkemampuan untuk membayar tempat penginapan di hotel yang dikuarantinkan.

Jelasnya, PKRC akan digunakan bagi kes kuarantin bagi pekerja asing yang tiada tempat yang sesuai untuk diasingkan di penginapan mereka.

“Ini yang telah dibincangkan dan mungkin dilaksanakan. Ada kelewatan bagi KKM untuk mengambil pesakit positif-Covid-19 dari rumah ke hospital atau PKRC.

“Tetapi kalau pesakit itu telahpun tamat tempoh 10 hari, dinasihatkan pesakit tersebut untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk kita ambil tindakan selanjutnya,” katanya.
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here