Luqman kembali beraksi

0
2

‘UBI’ muda negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin beraksi dalam perlawanan pertama selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami pada Oktober lalu pada aksi pemanas badan menentang Royal Excel Mouscron, semalam.

Luqman bukan saja beraksi malah beliau diberikan tugas untuk mengetuai jentera serangan serta turut diturunkan dalam kesebelasan utama oleh pengurus, Yves Vanderhaeghe.

Pemain berusia 19 tahun itu beraksi selama 45 minit pertama perlawanan sebelum beliau digantikan pada separuh masa kedua. Meskipun tidak menyumbang sebarang jaringan ataupun bantuan gol, namun Luqman mendapat minit bermain yang berharga memandangkan beliau baru saja pulih dari kecederaan.

Jika Luqman berjaya meningkatkan prestasi beliau pada perlawanan pemanas badan akan datang, tidak mustahil Yves akan terus memberikan peluang kepada Luqman untuk terus beraksi bersama skuad utama.

Setakat ini, Luqman Hakim baru beraksi dalam satu perlawanan bersama skuad senior iaitu pada perlawanan Jupiler Pro League menentang RSC Anderlecht pada Oktober lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Luqman berjaya mendapatkan sepakan penalti untuk Kortrijk namun pasukan itu tewas dengan keputusan 3-1. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here