Isu Prasarana: Anak Tajuddin tampil pertahan maruah keluarga

0
2

ANAK kepada Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini ‘membuat kejutan’ apabila hadir sidang media anjuran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi menjawab dakwaan terhadap bapa dan syarikat milik keluarganya.

Dr Faizal Tajuddin tampil memperkenalkan diri dan sedia menjawab persoalan serta dakwaan yang dibuat terhadap bapa dan syarikat keluarganya.

Terdahulu, sidang media berkenaan adalah bagi mendedahkan dakwaan skandal membabitkan Tajuddin dan Prasarana berkaitan projek yang membabitkan syarikat keluarga Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Ia dihadiri Pengasas Bersama Muda, Amir Hadi serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membangkitkan dakwaan salah guna kuasa Tajuddin dalam Prasarana.

Faizal berkata, dakwaan dibuat oleh Muda adalah berniat jahat dan mempunyai kepentingan tertentu.

“Jika ia betul skandal kenapa tidak terus membuat laporan kepada pihak berkuasa namun sebaliknya membuat sidang media seolah-olah hanya untuk mensensasikan isu,” katanya.

Menjawab beberapa persoalan mengenai dakwaan terhadap bapa dan syarikat milik keluarganya, beliau mendakwa projek pembangunan Latitud 8 tidak dibiayai kerajaan tetapi kerjasama pihak pemaju dengan kos sendiri tanpa peruntukan daripada pihak lain

“Setakat ini Prasarana juga tidak membuat sebarang bayaran kepada kontraktor untuk projek berkenaan dan kontraktor menang tender terbuka berdasarkan merit pada 2012.

“Projek ini tidak tergendala selama lapan tahun seperti didakwa kerana ia hanya dimulakan pada 2017 dan kontraktor sudah mengeluarkan perbelanjaan lebih RM80 juta namun keadaan ekonomi gawat menyebabkan tiada pembeli yang membeli unit dibangunkan maka kontraktor berhadapan kekurangan dana.

“Prasarana juga masih mengkaji penamatan projek ini dan adalah lumrah jika penamatan kontrak ingin dilakukan ia membabitkan pampasan,” katanya.

Beliau berkata, jika tidak ditamatkan kontraktor mungkin akan mencari penyelesaian lain termasuk melakukan kerjasama pembangunan dengan pihak lain pula.

Katanya, penamatan projek berkenan juga adalah langkah yang baik terutama bagi mengelakkan timbul isu kepentingan peribadi bapanya dalam Prasarana.

“Saya merasakan perlu berada di sini bagi menjawab persoalan dan dakwaan kerana ia membabitkan maruah keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Amir Hadi memaklumkan segala dokumen mengenai persoalan yang dibangkitkan pihaknya boleh dilihat umum di www.skandaltajuddin.com.

Dalam sidang media itu, Muda turut mendakwa jawapan diberikan Tajuddin dalam sidang media semalam bagi menjawab beberapa isu termasuk projek pembangunan Latitud 8 milik Prasarana yang membabitkan syarikat milik keluarga Tajuddin tidak memuaskan.
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here