PENIAGA di Taman Puchong Permai sedikit lega apabila operasi merobohkan gerai mereka oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang di jangka dilakukan hari ini tidak berlaku.
Namun penangguhan itu tidak mampu membantu 43 peniaga berkenaan yang hilang punca pendapatan susulan sudah seminggu tidak dapat membuka gerai dan berniaga.
Susulan itu, sebahagian daripada peniaga berkenaan membuat keputusan nekad untuk kembali berniaga bermula esok dan sanggup berdepan dengan tindakan daripada MBSJ.

Peniaga roti canai, Rosli Mohd Alias, 49, berkata dia kehilangan pendapatan susulan tidak dapat berniaga sejak 28 Disember lalu.
“Berniaga roti canai adalah punca pendapatan utama saya yang sudah bertapa di sini sejak kira-kira 13 tahun lalu.
“Dalam sehari saya mampu menjual sebanyak 13 kilogram roti canai dan lebih pada hujung minggu. Saya hilang punca pendapatan ribuan ringgit sejak seminggu tidak berniaga ini,” katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak berhampiran Bulatan Puchong Permai hari ini.
Menurutnya, dia nekad untuk kembali membuka gerai esok dan akan mempertahankannya selagi mampu jika diserbu atau cuba dirampas oleh MBSJ.
Peniaga kasut terpakai, Zainal Maarop, 54, yang turut berniaga esok berkata, mereka bukan bertujuan menentang pihak berkuasa tetapu perlu mencari rezeki demi menampung kehidupan harian terutama dalam keadaan mencabar susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
“Tidak lama lagi sesi persekolahan akan dibuka dan memerlukan wang yang banyak, jika kami tidak berniaga bagaimana kami hendak menampung keperluan hidup yang semakin mendesak ini.
“Harap mana-mana pihak yang berkenaan faham dengan kesulitan kami serta berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya yang sudah 12 tahun berniaga di tapak berkenaan.

Sementara itu, Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Serdehana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah yang turut berada di lokasi gerai bersama beberapa peniaga bagi membantah perobohan gerai berkata, pihaknya berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan dalam mencari penyelesaian terbaik masalah berkenaan.
“Kesemua 43 peniaga sudah membuat laporan polis semalam bagi membantah operasi meroboh gerai mereka dan Alhamdulillah hari ini operasi berkenaan tidak berlaku.
“Bagaimanapun tidak pasti hingga bila operasi merobohkan gerai ini ditangguhkan dan IKHLAS harap ia di tangguh hingga Jun ini bagi memberi peluang peniaga terus berniaga sementara rundingan dijalankan dalam mencari penyelesaian terbaik.
“Kami harap semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan Datuk Bandar dapat duduk berbincang bersama peniaga untuk selesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.
Pada 28 Disember lalu, peniaga di situ merayu supaya gerai mereka tidak dirobohkan kerana tidak mempunyai mata pencarian lain.
Mereka turut berhimpun di tapak gerai dalam usaha membantah kerja perobohan dijalankan susulan MBSJ mendakwa lokasi perniagaan di Bulatan Puchong Permai itu tidak sesuai selain wujud pelanggaran syarat permit sementara seperti gerai di atas rizab jalan dan berstruktur tetap. – Malaysiapost

