LALUAN di Kilometer (KM) 84.6 hingga 84.7 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Lanchang di kedua-dua arah masih ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan hari ini.
Anih Berhad menerusi kenyataannya memaklumkan, turut ditutup sepenuhnya ialah laluan di KM113 (Lanchang) susulan kenaikan air sejak jam 9 malam semalam.
Laluan di KM84.6 hingga 84.7 ditutup sejak Ahad lalu akibat limpahan air sedalam kira-kira satu meter melibatkan laluan sepanjang satu kilometer.
“Walau bagaimanapun keadaan semasa limpahan air mula menunjukkan penurunan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Anih Berhad menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan perjalanan dan mematuhi arahan petugas di semua lokasi terlibat.
Maklumat laluan alternatif boleh dirujuk ke Bilik Gerakan Bencana JKR Pahang di talian 09-5717157.
Maklumat sahih dan terkini boleh didapati di laman rasmi media sosial ANIH Berhad di Twitter @LPTTrafik dan Facebook @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi LPT-Line di 09 5479111 atau 1-700-818-700.-Malaysiapost

