MANGSA banjir di Pahang kini mencecah 17,129 orang daripada 4,398 keluarga dan kini berada di 243 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah setakat jam 8.28 pagi, hari ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 14,616 mangsa daripada 3,891 keluarga yang dipindahkan ke 208 PPS pada 9 malam tadi.
Berdasarkan rekod, sebanyak 44 PPS dibuka di Raub, diikuti Lipis (42), Jerantut (37), Temerloh (24), Rompin (10), Pekan (sembilan), Bera (enam) dan Bentong (tiga).
Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan sebanyak sembilan sungai masih melepasi paras berbahaya pagi ini, berbanding 11 sungai, semalam.
Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai di Bukit Betong dan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut.
Selain itu, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Inai), Pekan
Di Terengganu, mangsa banjir di daerah Dungun dan Kemaman tidak banyak menunjukkan perubahan apabila seramai 1,074 masih ditempatkan di PPS
Sehingga jam 8 pagi tadi, semua mangsa daripada 330 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS.
Semalam, seramai 1,077 mangsa daripada 335 keluarga dipindahkan ke 10 PPS di daerah Dungun dan Kemaman.-Malaysiapost

