[Parlimen] Penggubalan akta anti lompat parti tidak memerlukan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan ataupun undian majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, ia memadai jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai keazaman politik untuk melaksanakannya.
“Jika isu keperlembagaan ditimbulkan sebagai alasan untuk menghalang penggubalan akta anti lompat parti, maka dinasihati supaya Perkara 10(1)(C) hendaklah dibaca sama dengan Fasal 2 (C).
“Adakah kerajaan PN yang dipimpin perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keazaman politik untuk menggubal akta lompat parti,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang harus melucutkan empat Adun mengikut undang-undang antilompat parti negeri itu, jika pembangkang benar-benar mahukan undang-undang berkenaan dilaksanakan di peringkat persekutuan.
“Saya mencadangkan agar Pulau Pinang memecat para Adun tersebut dan membawa perkara ini ke mahkamah dan melihat apakah mahkamah akan menyokong keputusan mahkamah dalam kes 1992 Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh,” kata Takiyuddin ketika sesi penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Untuk rekod, dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lwn Nordin Salleh, mahkamah memutuskan bahawa pindaan terhadap perlembagaan Kelantan, yang melarang melompat parti tidak sesuai dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kebebasan berpersatuan.
Takiyuddin pada mulanya menyorot tiga Adun Pulau Pinang yang berpaling tadah dari parti mereka baru-baru ini, iaitu wakil Bertam Khalid Mehtab Mohd Ishaq, wakil Teluk Bahang Zolkifli Md Lazim dan wakil Seberang Jaya Afif Bahardin.
Oleh itu, katanya, kerajaan Pulau Pinang harus memaksa ketiga-tiganya mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Enakmen Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan) 2012, yang merujuk kepada undang-undang antilompat parti negeri.
Undang-undang tersebut menyatakan bahawa wakil rakyat harus mengosongkan kerusi mereka jika mereka bertukar parti atau menjadi Adun bebas ketika penggal perkhidmatan mereka.
Mengulas kenyataan Takiyuddin, Hassan berkata pada waktu itu belum ada akta anti lompat parti.
Katanya sebuah kerajaan Persekutuan yang diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tumbang angkara lompat parti tentu saja menjejaskan kepentingan keselamatan negara.

