Pencarian sejak Sabtu berakhir, Ikmal Hakimi ditemui lemas

0
2

SEORANG pemuda yang dilaporkan hilang sejak jam 7 malam Sabtu lalu, ditemui lemas berhampiran jalan pintas Kampung Melayu Nyior ke Kampung Bentong, Kluang.

Penemuan mayat Ikmal Hakimi Mahasan, 21, kira-kira 50 meter dari kereta Axia miliknya yang terjatuh ke dalam air di jalan pintas itu jam 12.20 tengah hari tadi, menamatkan pencarian yang digerakkan bersama penduduk kampung, polis dan bomba.

Ikmal Hakimi dikatakan keluar rumah jam 6 petang Sabtu lalu dengan melalui jalan pintas Kampung Melayu Nyior ke Kampung Bentong dengan menaiki Perodua Axia.

Bapanya, Mahassan Mohd Daud, 50, yang reda dengan kejadian itu berkata, pada hari kejadian, anak sulungnya itu tinggal di rumah manakala dia dan ahli keluarga lain berada di Kelantan.

Ikmal Hakimi tidak mahu ikut serta kerana mahu mengikuti kuliahnya secara dalam talian.

“Cuma yang saya agak ralat adalah selama ini setiap kali dia keluar rumah dia akan beritahu saya atau ahli keluarga lain namun kali ini dia tidak meninggalkan sebarang pesan.

“Saya menerima laporan kehilangan Ikmal daripada kawan-kawannya awal pagi semalam sebelum bergegas balik ke Kluang.

“Sebaik sampai rumah, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama penduduk kampung dan kawan-kawan Ikmal malam tadi hingga awal pagi ini namun gagal menemuinya,” katanya yang membuat laporan polis jam 5.30 pagi tadi, lapor BH.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata mangsa dikatakan mahu ke rumah rakannya di Kampung Bentong menggunakan jalan dari Kampung Nyior kerana jalan lain ke kampung berkenaan terputus hubungan pada hari kejadian.

Selepas mendapat pengesahan rakan mangsa bahawa Ikmal Hakimi tidak ke rumahnya, ayah mangsa membuat laporan pagi tadi dan gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bermula jam 9.20 pagi.

“Pasukan penyelamat menemui kereta mangsa di tepi jalan yang dikatakan tempat yang dilalui manakala mayat mangsa ditemui kira-kira 50 meter daripada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat Ikmal dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk proses bedah siasat.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here