Mangsa banjir Pahang melebihi 10,000 orang

0
2

MANGSA banjir di Pahang kini membabitkan 10,467 mangsa daripada 3,263 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ia menyaksikan peningkatan mendadak berbanding 8,273 mangsa daripada 2,840 keluarga pada jam 9 pagi, hari ini.

Kesemua mangsa ditempatkan di 198 PPS di sembilan daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Maran, Rompin, Jerantut, Raub, Lipis, Bentong dan Pekan.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 3,152 mangsa daripada 850 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS, diikuti Maran yang membuka 36 PPS untuk 1,858 mangsa daripada 1,027 keluarga.

Raub mempunyai 1,493 mangsa daripada 424 keluarga di 46 PPS; Jerantut (28 PPS) 1,235 mangsa daripada 267 keluarga; Lipis (22 PPS) 1,062 mangsa daripada 267 keluarga dan Temerloh menempatkan 593 mangsa daripada 155 keluarga di 14 PPS, lapor Harian Metro.

Rompin pula membuka lapan PPS bagi 722 mangsa daripada 190 keluarga; Pekan (6 PPS) mencatatkan 133 mangsa membabitkan 29 keluarga serta Bentong (3 PPS) 219 mangsa daripada 54 keluarga.

Dalam pada itu, laman publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan 11 sungai di Pahang kini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis 86.32 meter (m) dan di PKGK Kuala Gandah 59.29m; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan 31.74m dan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis 62.52.

Selain itu, Sungai Lipis di Batu Malim, Raub mencatatkan bacaan 116.35m; Sungai Jelai di Bukit Betong 73.09m dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan 69.81m.

Turut melepasi bahaya, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (19.12m), Kuala Sungai Chini, Pekan (15.03m), Sungai Kuantan di Pasir Kemudia (8.37m) dan Sungai Kuantan di Kuantan Bypas (4.03m). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here