Nilam Oshman
MENJELANG pembukaan sesi persekolahan 2021 yang dijadualkan kira-kira dua minggu lagi, timbul pertanyaan sama ada semua warga pendidik perlu diwajibkan menjalani ujian swab.
Ia antara lain bagi mengekang penularan serta jangkitan Covid-19 di sekolah, termasuk dalam kalangan murid dan pelajar.
Berdasarkan semakan Malaysiapost, data KPM menunjukkan lebih 400,000 guru di seluruh negara ketika ini.
Pakar kesihatan berpendapat guru tidak perlu diwajibkan menjalani ujian swab menjelang pembukaan sesi persekolahan kira-kira dua minggu lagi.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar bagaimanapun berkata guru yang mempunyai simptom atau kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19 perlu diwajibkan menjalani saringan sebelum sesi pembelajaran bermula.
Pada masa sama, katanya, warga pendidik yang secara sukarela mahu melakukan ujian swab, adalah digalakkan berbuat demikian demi keselamatan murid dan pelajar.
“Ia bergantung kepada sekolah atau guru terbabit sama ada mahu melakukan ujian saringan berkenaan.
“Namun, sekiranya (guru-guru terbabit) nak buat (ujian swab), digalakkan saja,” katanya kepada Malaysiapost.
Dr Zainal Ariffin turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) lebih berwaspada dan melakukan persediaan supaya dapat menghindari kes penularan Covid-19 di sekolah menerusi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Semalam, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan memberitahu Malaysiapost, kerajaan perlu meneliti semula keputusan membuka sesi persekolahan 2021 pada 20 Januari ini seperti dijadualkan.
Beliau berpendapat kerajaan perlu terlebih dahulu melakukan pemantauan keadaan semasa jangkitan Covid-19 sebelum membenarkan sekolah dibuka.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan sempena tahun baharu 2021 memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah KPM akan dibuka pada 20 Januari ini mengikut takwim yang diumumkan sebelum ini.
Berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, permulaan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut melibatkan semua murid sekolah rendah dan sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, 4, 5 dan 6 serta Kolej Vokasional.
Pelajar Tingkatan 2 dan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh sama menerusi kaedah pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian serta kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021. – Malaysiapost

