DAP dah boleh senyum – Annuar

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

“DAP dah boleh senyum”. Demikian menurut Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantarannya di Facebook.

Menurutnya, ia susulan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian hari ini tidak lagi membincangkan soal Melayu dan Islam seperti lazimnya, sebaliknya membincangkan soal perpecahan.

“Saya mula aktif dalam Umno 40 tahun lalu. Setiap tahun hadiri Mesyuarat Perwakilan Bahagian, lazimnya Umno kuat berbincang soal Melayu dan Islam. Usul hal rakyat.

“Tetapi tahun ini itu semua tidak kedengaran. Yang kita dengar ialah seruan penolakan dan perpecahan sesama Melayu dan serang menyerang sesama sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh semalam mengusulkan supaya Annuar dipecat dari parti itu.

Usul berkenaan dicadangkan oleh Ketua Pemuda Umno Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali semasa mesyuarat perwakilan pergerakan berkenaan semalam.

Menurutnya, Umno perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat keahlian Annuar selepas beliau dilihat menjadi tali barut dan jurucakap kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menerusi hantaran yang berbeza, Annuar yang juga Setiausaha Agong Umno itu berkata, beliau rela dipecat jika tetap mahu melihat Umno memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan.

“Saya tetap pertahan keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ‘No DAP No Anwar. Saya tetap mahukan Umno memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah. Kalau nak pecat kerana itu, silakan..nak pertahan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar, silakan,” katanya.

Semalam, media melaporkan MKT Umno akan membincangkan isu penolakan kerjasama politik di antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada mesyuaratnya, Rabu ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini 143 daripada 191 ketua Umno bahagian seluruh negara menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau menegaskan, keputusan itu yang akan dinyatakan secara rasmi melalui usul pada mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing, perlu dikaji dan diterima parti.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here