RCI siasat kemelut TH bukan langkah ke belakang, kata Nik Abduh

0
3

Penubuhan Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan menyelesaikan kemelut berkaitan Tabung Haji (TH) jika dilaksanakan, bukan mengundur ke belakang dalam penyelesaian terhadap permasalahan berkenaan.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebaliknya berkata ia bagi memastikan kedudukan sebenar TH di sebalik pelbagai polemik yang telah dibangkitkan.

Tambahan lagi, katanya, RCI itu perlu menjawab pelbagai persoalan yang menjadi tanda tanya sehingga hari ini.

“Beberapa perkara ini termasuklah isu penjualan sebahagian besar ladang-ladang milik TH Plantations di bawah harga pasaran.

“Selain pemindahan aset penting TH kepada UJSB yang dianggap kononnya “underperforming assets” serta dakwaan tiada audit ke atas akaun berkanun TH sejak pelan pemulihan dilaksanakan pada 2018.

“Kesemua ini memerlukan jawapan yang tuntas dan saya percaya ia hanya boleh diselesaikan dengan penubuhan siasatan yang bebas dan tiada campur tangan politik,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru, Nik Mohamad Abduh berkata, langkah penubuhan jawatankuasa RCI bagi menyelesaikan kemelut TH adalah tepat pada masanya.

Beliau turut menyambut baik jawapan Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Parlimen petang semalam yang memberi bayangan positif ke arah penubuhan RCI itu.

“Desakan penubuhan RCI ini bukanlah perkara baharu. PAS telah mengeluarkan pendirian tersebut sejak pelbagai isu mengenai TH mula dibangkitkan pada Disember 2018,” katanya.

Semalam Zulkifli berkata kerajaan akan mempertimbangkan penubuhan RCI jika perlu, bagi menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan TH.

Beliau berkata ia akan dibincangkan jemaah menteri dalam masa terdekat dan kerajaan amat memahami bahawa dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan TH perlunya ada satu badan bebas dan berautoriti.