SYAMIRA Safiya yang didakwa sebagai individu memfitnah selebriti, Neelofa tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di Twitter.
Dalam kenyataan itu, wanita berkenaan mengakui mengeluarkan kenyataan di Twitter dan pelbagai platform media sosial lain tanpa asas dan tidak benar pada 26 Disember lalu.

“Saya, Syamira Safiya dengan ini menarik balik kenyataan yang saya buat terhadap Cik Neelofa serta pembantu peribadi beliau di Twitter dan pelbagai platform media sosial pada 26 Disember 2020.
“Saya mendakwa dan membuat pernyataan itu tanpa asas dan ia adalah tidak benar,” katanya.
Syamira juga menegaskan dia tidak berniat jahat ketika menulis kenyataan itu sekali gus kesal dengan tindakannya.
“Kenyataan itu tidak dibuat dengan niat jahat untuk berbohong atau mencemarkan nama baik mereka.
“Saya juga amat kesal kerana tindakan peribadi ini menimbulkan rasa malu, sedih dan membawa kesusahan kepada mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Syamira berkata permohonan maaf itu dibuat atas kerelaan hatinya sendiri untuk memperbetulkan keadaan tanpa tekanan mana-mana pihak.
Sebelum ini, wanita itu berkongsi beberapa cerita yang disertakan dengan tangkap layar mesej dari aplikasi WhatsApp berkenaan hubungan antara selebriti itu dan PU Riz.
Neelofa dalam kenyataan sebelum ini menafikan tuduhan yang mendakwa beliau sudah berkahwin di Kelantan, terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah duit yang banyak kepada pendakwah muda itu. – Malaysiapost

