KERAJAAN Sarawak akan membina pagar penghadang di semua 12 pangkalan feri di negeri itu, dalam usaha memastikan insiden Triso yang mengorbankan sembilan nyawa tidak berulang.
Bagi tujuan itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, beliau telah meminta Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan.
“Apa yang penting sekarang kita mahu meningkatkan tahap keselamatan yang mana kita akan membina pagar penghadang di semua tanjakan pangkalan feri di Sarawak.
“Saya telah mengarahkan Datuk Julaihi untuk berbincang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta agensi berkaitan untuk pembinaan pagar penghadang ini agar dapat dilaksanakan segera,” katanya selepas melawat lokasi tragedi Triso di Sebuyau hari ini, lapor Utusan Borneo.
Masing berkata, kerajaan negeri juga akan menugaskan pengawal keselamatan di semua pangkalan feri dalam masa terdekat.
“Kita sudah maklumankan kepada operator feri dan kerajaan negeri akan menambah kos untuk penugasan pengawal keselamatan ini,” katanya.
Semalam, sembilan mangsa iaitu dua wanita, tiga remaja, tiga kanak-kanak termasuk seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut dalam tragedi pikap terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Feti Feri Friso.
Mereka dikenal pasti sebagai Ronany Ting, 33, yang memandu kenderaan itu serta penumpang, Siti Aisha Abdullah, 36.
Turut terkorban, Nor Shuhada Mohamad, 16; Khairunnisa Muhamad, 14; Alvin Phang, 12 dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7; dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, manakala
Bayi lelaki dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.
Semua mangsa yang mempunyai pertalian kekeluargaan dipercayai dalam perjalanan dari Sibu, kira-kira 200 km dari lokasi tragedi, ke bandar raya Kuching. – Malaysiapost

