Pulau Batu Hairan, misteri lebih 3 dekad belum terungkai

0
3

LEBIH tiga dekad lalu, sebuah pulau muncul tiba-tiba di perairan Pulau Banggi, kira-kira 65 kilometer ke timur laut Kudat di Sabah hingga menggemparkan penduduk sekitar.

Dinamakan Pulau Batu Hairan, ia dikesan timbul di perairan itu pada 14 April 1988 dan tenggelam pada 25 Februari 1990.

Ramai menganggap pulau itu sebagai batu terapung yang mempunyai keramat dan pembawa rezeki.

Misteri kewujudan dan kehilangan pulau yang dipercayai terhasil dari terumbu karang seluas 0.7 hektar dan berketinggian 3.1 meter itu hingga kini kekal menjadi tanda tanya.

Pulau Batu Hairan dianggap mempunyai keramat dan pembawa rezeki. Foto: Mysabah.com

Mengikut cerita penduduk Pulau Banggi, batu itu ditemui seorang nelayan yang tertidur dalam bot pada waktu malam dan sebaik tersedar, beliau hairan apabila menyedari botnya berada di sebuah pulau.

Lebih aneh, ratusan ikan terdampar berhampiran bot itu dan beliau bergegas pulang ke rumah memaklumkan kepada penduduk kampung.

Penduduk Pulau Banggi menamakannya `Pulau Batu Hairan’ kerana selama menangkap ikan di situ, mereka tidak pernah melihat pulau berkenaan dan keadaan sama diakui nelayan dari luar pulau terbabit.

Pekan Kudat, terletak di utara Sabah kira-kira 190 kilometer dari Kota Kinabalu

Cerita mengenai pulau misteri tersebut tersebar hingga mendorong segelintir peniaga yang mahu mengambil seketul batu pulau itu kerana mempercayai ia boleh membawa tuah.

Penduduk dari selatan Filipina terutama Mindanao turut berkunjung ke Pulau Batu Hairan sambil mendakwa pulau berkenaan hanyut dari negara mereka dan timbul di perairan Sabah.

Kenduri tolak bola

Ada penduduk mengadakan kenduri kononnya untuk menolak bala dan acara pemujaan di pulau itu oleh penduduk Pulau Banggi dan Pulau Balambangan di Kudat serta Mindanao.

Nelayan laut dalam berbangsa Cina dari Kudat yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Lung, 50, mendakwa `diburu’ penduduk setempat gara-gara mengambil seketul batu dari pulau berkenaan sebagai cenderamata.

Penduduk setempat dan warga Mindanao sangat taksub dengan pulau itu sehingga menganggapnya pembawa rezeki dan penyelamat mereka jika berlaku bencana alam seperti ombak tinggi atau taufan.

Pulau Banggi

“Saya terkejut dikunjungi tiga lelaki tua yang mengaku pemilik pulau itu dan meminta saya memulangkan batu berkenaan.

“Saya tidak lepaskan batu yang disimpan kerana menganggap dakwaan mereka tidak logik,” katanya.

Ah Lung mendakwa mengunjungi pulau itu tiga hari selepas ia ditemui dan sempat memacakkan bendera putih tertera nama `Pulau Ah Lung’ tetapi bendera itu dibuang penduduk berhampiran.

Seorang peniaga dari Kudat, Poong Kim Chung, 62, mendakwa dia antara orang terawal menjejakkan kaki ke Pulau Batu Hairan, iaitu pada 29 April 1988 dan tidak dapat melupakan saat bersejarah itu.

“Saya rasa seolah-olah mengunjungi dunia lain kerana pulau terbabit baru wujud dan ketika itu ia diiktiraf sebagai pulau terbaru wujud di dunia.

“Saya masih ingat batu di pulau itu bagaikan membawa rezeki dan sejuk bila disentuh, malah amat menenangkan fikiran. Ada batu besar yang mempunyai tulisan mirip Jawi diambil penduduk setempat kerana menganggap pembawa tuah.

“Ia terpaksa diangkat lapan orang kerana terlalu berat,” katanya.

Tak sama sejarah Pulau Tiga

Kewujudan Pulau Batu Hairan berbeza dengan pulau lain di Sabah. Sebagai contoh, Pulau Tiga mempunyai sejarah geologi tersendiri dan timbul dari dasar laut berikutan gempa bumi di Mindanao pada 1897.

Kali terakhir letupan gunung berapi berlaku di Mindanao ialah pada 1941 dan boleh didengari bunyinya sejauh 160 kilometer (km), menyebabkan 30 hektar belukar di kawasan itu dipenuhi lumpur panas.

Pulau Tiga di perairan Kimanis timbul dari dasar laut berikutan gempa bumi di Mindanao pada 1897

Jika Pulau Batu Hairan wujud kesan letusan gunung berapi di pulau itu, sudah pasti ia terbentuk sejak 65 tahun lalu berikutan kedudukannya berhampiran Mindanao.

Laporan geologi menunjukkan Pulau Tiga bermula daripada tiga letusan lumpur gunung berapi pada 21 September 1897 sehingga membentuk kon gunung berapi dengan ketinggian beberapa meter dari aras laut.

Ahli geologi British, John McManus dan Robert B Tate, yang menerbitkan hasil kajian mengenai Pulau Tiga dalam Geological Society of Malaysia Bulletin (1986), berkata lumpur dan batu terpancut keluar ke permukaan bumi dan membentuk kon dengan garis pusat kira-kira 20 meter.

Keadaan itu berbeza dengan Pulau Batu Hairan kerana kemunculannya hanya tiba-tiba dan selepas itu tenggelam semula, sedangkan Pulau Batu Tiga wujud hingga sekarang serta menjadi aset sektor pelancongan Sabah. – Malaysiapost

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here