Isu HSR: kerajaan PN perlu telus – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) sepatutnya telus dalam isu perjanjian Projek Kereta Api Laju (HSR) antara Malaysia dan Singapura, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak seharusnya menggunakan alasan ekonomi atau pandemik Covid-19 di atas kegagalan itu.

“Beberapa media dalam dan luar negara sudah melaporkan banyak maklumat dari sumber dalaman berhubung hala tuju projek ini,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menyoal, adakah HSR KL-JB sudah dirancang untuk menggantikan HSR KL-Singapura dan penggantian itu dikatakan akan diumumkan tiga bulan lagi.

“Apakah perbezaan kosnya? Media melaporkan jumlah kos keseluruhannya tak beza besar.

“Adakah pembekal teknologi dan syarikat operasi swasta (yang sering dikatakan adalah kroni PM4/PM7) sudahpun dipilih tanpa tender seperti didakwa media,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut rancangan asal HSR, sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Singapura dengan Malaysia akan bertanggungjawab untuk memilih pembekal teknologi dan kontraktor untuk projek.

“Jika ditukar ke KL-JB, maka kerajaan Malaysia sahaja akan membuat keputusan untuk memilih vendor dan kontraktor.

“Memandangkan jumlah penumpang dan pendapatan syarikat operator akan jauh berkurangan jika ditukar dari KL-Singapura ke KL-Johor Bahru, adakah kerajaan akan menampung kerugian atau membayar pampasan tahunan syarikat operator swasta?

“Apakah beza pulangan serta impak ekonomi kepada negara antara projek KL-Singapura berbanding KL-JB?,” soalnya lagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong melalui kenyataan bersama hari ini, memaklumkan cadangan perubahan itu dikemukakan Malaysia susulan impak Covid-19 dan kedua-dua negara sudah pun mengadakan beberapa rundingan, namun tiada persetujuan dicapai.

Dengan itu, katanya perjanjian HSR tamat tempoh pada 31 Disember 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here