Fitri Nizam
Masyarakat dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul untuk melaporkan sebarang kegiatan jenayah termasuklah perjudian haram bagi mengelakkan keselamatan diri diancam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata melaporkan sesuatu jenayah menggunakan medium media sosial hanya akan mengundang risiko lebih besar kepada pengadu.
Katanya, pihaknya amat menggalakkan untuk memberi maklumat jenayah namun haruslah mengikut perundangan dan tidak bertindak secara melulu.
“Jangan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur tuduhan sehingga menjadi tular di media sosial, sila laporkan dan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi Bandar Baru Sungai Buloh, di sini.
Selain itu, Hamzah turut memberi jaminan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat kes berkenaan dengan seadil-adilnya.
“Insya-Allah, kami akan siasat kes berkenaan dan jangan buat viral, keselamatan diri harus dijaga dengan baik,” katanya.
Ditanya sama ada PDRM akan mengambil tindakan terhadap pengusaha Hot Burger Malaysia iaitu Mohd Asri Hamid, Hamzah berkata PDRM akan menyiasat Mohd Asri bagi memastikan segala tuduhannya itu diambil tindakan sewajarnya.
“Kami bukan mahu menghukum dia (Mohd Asri) tetapi untuk menyiasat segala tuduhan dan tohmahan yang dikeluarkan beliau,” katanya.

