Parti politik didakwa berkonspirasi isu kartel daging, dakwaan JMM mesti disiasat

0
3

DAKWAAN badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berhubung kaitan ahli politik yang turut berkonspirasi dalam isu kartel daging harus disiasat.

Bekas Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata apa saja isu produk makanan berkaitan halal dan haram sama sekali tidak boleh dikompromi.

Katanya, siasatan secara konprehensif berhubung dakwaan JMM harus dilaksanakan oleh semua pihak terutamanya penguatkuasa undang-undang.

“Penipuan mengenai ‘halal’ serta ‘haram’ ke atas mana-mana produk makanan adalah pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali bukan saja dari hukum duniawi tetapi juga sudut aqidah agama Islam.

“Siasatan secara menyeluruh, profesional dan teliti mesti jalankan pihak penguatkuasa undang-undang yang berkaitan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, laporan polis dibuat oleh beberapa pihak dalam kes kartel daging import haram sepertimana dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Bagi saya yang pernah terbabit dalam kes NFC, saya memahami permasalahan sebenar syarikat empunya orang Melayu ini dan sentiasa berpegang pada asas kebenaran tanpa peduli mereka itu musuh mahupun sahabat.

“Prinsip berpegang pada asas kebenaran mesti digenggam erat semua pihak tanpa kita boleh secara sewenang-wenangnya menganiayai sesiapa saja.

“Semua pihak penguatkuasa undang-undang yang berkaitan dengan isu ini mesti menjalankan satu siasatan secara adil dan saksama bagi menampilkan kebenarannya,” katanya.

Semalam, JMM mendakwa terdapat pembabitan sebuah parti politik dalam isu kartel daging sejuk beku.

Presidennya, Hamdan Mohd Salleh, berkata pembabitan parti terbesar itu bukannya baru malah didakwa berlaku lima tahun yang lalu.

“Hari ini (semalam) kita membuat laporan polis mengenai pendedahan sebuah parti politik terbesar dan sekutunya dalam menjatuhkan industri daging dengan berkerjasama dengan pihak kartel.

“Mereka bersekongkol menjatuhkan syarikat GLC kerajaan seperti Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dengan usaha menggagalkan perusahaan industri daging ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here