Agensi kerajaan ambil tindakan segera selesai isu kebersihan di Mersing

0
2

TEGURAN Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap isu kebersihan di Mersing akan diselesaikan dengan sebaik mungkin, kata Pegawai Daerah Mersing, Mohd Radzi Mohd Amin.

Beliau berkata, agensi kerajaan di daerah itu akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu sampah dan kebersihan di daerah berkenaan.

Katanya, pihaknya komited untuk mengembalikan imej Mersing yang terkenal dengan sektor pelancongan dan beberapa potensi lain.

“Kita mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah ini mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat awam dipenuhi sampah sarap.

“Saya sudah mengarahkan setiap jabatan yang berkepentingan untuk bertindak segera bagi mengatasi isu sampah terbabit dan titah Sultan Johor ini juga membuktikan keprihatinan baginda terhadap daerah ini.

“Walau bagaimanapun, sikap dan kesedaran dalam kalangan semua pihak perlu ada untuk menjaga kebersihan di Mersing ini dengan tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya dan sikap tidak bertanggungjawab ini perlu dibuang sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak dilantik sebagai Pegawai Daerah Mersing yang baharu pada 22 November lalu, beliau sudah merencanakan pelbagai rancangan untuk memaksimumkan potensi daerah ini termasuk memperkenalkan slogan ‘Mersing Kesayangan Kita’ dan ‘Amazing Mersing’.

Semalam, menerusi Facebook (FB) rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Baginda turut bertitah, Mersing adalah sebuah daerah pelancongan menjadi tumpuan pelancong dari luar negara kerana kaya dengan keindahan alam semula jadi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here