Pemansuhan GST jejas pendapatan negara

0
3

KEPUTUSAN kerajaan terdahulu memansuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menjejaskan pendapatan negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata hasil pendapatan negara berkurangan apabila cukai itu dihapuskan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“GST telah diperkenalkan pada 2015, sebelum ia dimansuhkan pada 2018 dan keputusan pemansuhan (GST) itu adalah keputusan kerajaan ketika itu.

“Apabila kita melihat kepada data, pungutan cukai GST sebanyak RM44 bilion setahun dan total ketika pelaksanaannya ialah RM133.1 bilion, manakala cukai SST hanya RM21 bilion setahun,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.

Abd Rahim berkata, pungutan cukai GST lebih besar berikutan ia sistem percukaian lebih menyeluruh, iaitu dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan pada semua peringkat, berbanding SST yang disifatkan cukai seperingkat dan secara amnya, dikenakan ke atas pihak pengilang.

“Menerusi pelaksanaan GST, kira-kira 597,000 orang yang berdaftar (menggunakan sistem percukaian ini), manakala SST hanya 46,519 yang berdaftar.

“Dan barangan yang dikenakan cukai untuk GST pula sebanyak 12,000 jenis manakala SST hanya 6,000 barang,” katanya.

Abd Rahim berkata, terdapat kelemahan ketika pelaksanaan GST dan secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat pandangan dan penerimaan semua pihak, termasuk rakyat sebelum menimbang untuk melaksanakan semula GST. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here