DATUK Seri Najib Razak berharap Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tampil menjawab mengenai pendedahan dokumen yang mengaitkan dana RM100 juta yang diterima keluarganya dari Jho Low, semalam.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia termasuk dana yang berasal daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun bank keluarga pengerusi PNB itu.
“Saya harap Zeti akan tampil untuk menjawab pendedahan dokumen-dokumen semalam yang menuduh bahawa keluarga dia pernah terima dana melebihi RM100 juta dari Jho Low.
“Ini termasuk dana yang berasal dari 1MDB dalam akaun-akaun bank mereka di Singapura,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu, Najib berkata, sebelum ini Zeti pernah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa beliau tahu mengenai kewujudan dana atau transaksi dalam RM2.6 bilion dalam akaunnya.
“Masa itu, saya amat hairan kenapa dia boleh cakap begitu sedangkan dia yang nasihat saya untuk buka akaun atas nama saya sendiri (dan bukan atas nama parti) untuk menerima dana asing tersebut.
“Mana mungkin seorang Gabenor BNM boleh tidak tahu apabila dana asing berjumlah berbilion-bilion masuk ke dalam akaun bank atas nama Perdana Menteri sedangkan setiap transaksi besar dari luar negara perlu kelulusan BNM,” katanya.
Najib berkata, tahun lalu, bekas pengurus besar Ambank juga memaklumkan kepada mahkamah dalam perbicaraan kes SRC bahawa beliau sendiri telah jumpa dan menyerahkan dokumen berhubung transaksi akaun atas namanya kepada Zeti berkali-kali.
“Dan dalam penghakiman kes SRC, hakim juga bersetuju bahawa saya telah mengarahkan BNM dan Ambank untuk pantau akaun saya dan beritahu saya jika ada transaksi-transaksi yang meragukan.
“Namun hakim berpendapat bahawa jikapun BNM atau Ambank memberi amaran kepada saya (mereka tidak pernah), saya akan abaikannya sebab hakim kata saya ‘power’ sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Semalam, Malaysia Today melaporkan siasatan mendapati bahawa Jho Low telah memindahkan berjuta-juta wang kepada pelbagai individu dan entiti termasuk kepada suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman.
Menurut laporan itu, skandal berkenaan berlaku dengan penglibatan beberapa pegawai kanan Ambank.
Laporan itu juga mendakwa Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bahawa Tawfiq dan anak-anaknya menerima berjuta-juta dolar dari Jho Low melalui akaun Iron Rhapsody dengan UBS AG, One Raffles Quay di Singapura. -Malaysiapost

